fb fb fb fb fb

Kegiatan jenayah di Julau akan dikenakan tindakan - Saifuddin

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 16 Februari- Tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang didakwa terlibat dalam kegiatan jenayah, termasuk gangsterisme di Julau, Sarawak tegas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata sebarang kegiatan jenayah termasuk gangsterisme tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

"Saya menerima maklumat langsung daripada Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng Wei Shien menjelaskan keadaan sebenar. Saya kongsi terus dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) Julau juga membuat kenyataan. Tangkapan dibuat dan sekarang tahanan reman. Biar proses itu selesai dahulu.

"Berkenaan dakwaan wujud anasir berunsur jenayah dan sebagainya, yang itu tidak akan terlepas daripada disiasat. Aduan telah dibuat, dan OCPD Julau lakukan tangkapan," katanya ketika mengulas berkenaan kenyataan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien yang menggesa polis bertindak keras terhadap kegiatan jenayah yang didakwa berleluasa di kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian dalam sidang media lawatan kerja ke Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di ibu negara.

Semalam Sng dalam satu hantaran di facebook mendakwa kumpulan kongsi gelap mengendalikan perjudian dalam talian di daerah Pakan dan Julau malah turut terbabit dengan aktiviti menjual dadah, kontraban seperti rokok dan minuman keras serta pinjaman wang haram. 

Dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan sesi libat urus dengan semua ahli Parlimen mengenai cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Saifuddin mencadangkan agar sesi itu diadakan bagi menerangkan keperluan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan semula akta tersebut untuk mengawal jenayah.

"Kita akan libatkan siri libat urus dengan ahli Parlimen dan dewan rakyat, sebab kita perlu beri penerangan tepat kepada mereka sebelum melakukan pindaan. Ia akan bermula dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, akibatnya polis tidak dapat terlibat perkara berkaitan dengan isu tidak termasuk dalam berperlembagaan.

"Sedangkan polis perlukan akta itu untuk mengawal jenayah. Kita anggap ini sebagai akta yang membolehkan polis melakukan tugass dengan berkesan," katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 4 dan 15B POCA ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan Persekutuan kerana merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI