KUALA LUMPUR, 16 Februari- Kesemua 20 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan dan perairan Selangor telah siap dinaik taraf.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau berpuas hati dengan proses menaik taraf dan prestasi perbelanjaan peruntukan bagi tujuan tersebut.
Beliau menyifatkan pelaksanaan naik taraf kesemua pos itu berjaya mengikut jadual yang ditetapkan.
"Saya tinjau di pos PGA yang tugasnya mengawasi sempadan pantai sepanjang 337 kilometer. 20 pos ini sangat penting, ia adalah pos hadapan yang mengawasi ancaman ketibaan pendatang asing tanpa izin, penyeludupan kontraban dadah dan segala jenis ancaman dari laut.
"Saya dapati, kesemua pos itu siap mengikut jadual dan tempoh pembinaannya juga adalah antara satu hingga tiga bulan. Tempoh disiapkan lebih cepat dan kualiti sangat baik.
"Saya berinteraksi dengan anggota bertugas tadi dan mereka melahirkan rasa syukur kerana mereka menunggu lama untuk penambahbaikan itu. Dari keadaan tidak layak diduduki, sekarang cukup selesa dengan siapnya. Aspek kebajikan, kita beri keutamaan dan terjemahkan sejumlah bajet RM45 juta.
Beliau berkata penambahbaikan tersebut juga dilihat inisiatif terbaik dalam memberi keselesaan dan meningkatkan moral pasukan.
Datuk Seri Saifuddin berkata demikian pada sidang media Lawatan Kerja ke Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di ibu negara.