fb fb fb fb fb

Jawatankuasa perkasa mahkamah syariah, terima pandangan semua pihak

Foto FB Anwar Ibrahim

BUKIT MERTAJAM, 16 Februari-Satu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam bagi memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah akan melibatkan pelbagai pihak dan peringkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jawatankuasa itu terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak, termasuk parti politik agar pandangan semua pihak diambil kira.

"Saya kata saya setuju jawatankuasa ini bersidang dan jumpalah siapa pun nak kemukakan pandangan, baik. Dan mintak bincang dengan semua negeri dan bincanglah dengan baik, siapa, mana ulamak mana parti nak bincang, biar ambil sikap terbuka dan dengar pandangan mereka. Apa tanggungjawab dan tugas jawatankuasa Tun Azmi ini, memperkasa mahkamah syariah, di mana, di Pulau Pinang, di Kelantan, di Kedah, di Johor bagi ruang untuk baiki," kata Anwar semasa perasmian Masjid Jamek Tengah Berapit di sini.

Anwar berkata jawatankuasa berkenaan akan meneliti semua pandangan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Tambah beliau, memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah menjadi tanggungjawab bukan hanya di peringkat negeri sebaliknya ia merupakan tanggungjawab di semua peringkat.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan bersetuju membangunkan Kerian Hi-Tech di sempadan Perak-Pulau Pinang bagi membantu masalah air di negeri itu.

Anwar berkata bekalan tersebut dijangka akan bermula dari Parit Buntar, Perak dan terus ke Sungai Acheh di Seberang Perai Selatan (SPS).

Manakala, bekalan air dan tenaga akan ditumpukan dari Sungai Perak ke kawasan Kerian sebelum ia dibekalkan terus ke SPS, Pulau Pinang.

Jelasnya, perkara tersebut telah dipersetujui kerajaan Perak setelah diyakinkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Projek tersebut akan dilaksanakan dengan kadar segera.

"Kita setuju sekarang untuk membangunkan Kerian Hi-Tech yang baharu, yang betul-betul di sempadan. Jadi akan ada limpahan di selatan di kawasan Sungai Acheh umpamanya, limpahan ke situ dari Parit Buntar. Memang ada kelewatan sedikit untuk dapat keyakinan Perak, bukan Perak menentang tapi Perak merasakan dia kena yakin air cukup untuk keperluan Perak. Jadi bila kita buktikan bekalan air di Perak itu jenuh melimpah dan Kerajaan Persekutuan akan bantu salurkan bekalan air di Kerian Hi-Tech dan dari  jumlah besar itu memenuhi Kerian dan terus melimpah ke Seberang Perai," kata Anwar.

Tambahnya, kawasan berkeluasan 407 ekar itu akan dibangunkan dalam empat fasa.

Ia dijangka akan menempatkan syarikat multinasional dan tempatan, sekali gus dapat menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM