KUALA LUMPUR, 18 November - Kedutaan China menyumbang sebanyak RM100,000 lagi kepada Tabung Musa'adah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM800,000 sejak tahun 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam satu kenyataan memaklumkan sumbangan itu melambangkan persahabatan dua negara yang diterjemahkan melalui keprihatinan terhadap insan yang memerlukan.
Beliau berkata sejak tahun 2020, Kedutaan China telah bersama-sama menghulur tangan kepada kelompok asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), gelandangan dan keluarga B40.
"Setiap ringgit tersebut bukan sekadar angka, ia adalah beras di dapur ibu tunggal, susu anak kecil yang menunggu di rumah dan sedikit nafas buat mereka yang diuji banjir serta harapan yang kembali bernyawa.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duta Besar China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing dan seluruh pasukannya atas keprihatinan yang konsisten.
"Semoga kerjasama ini terus subur, bukan sahaja antara kerajaan, tetapi antara hati ke hati sebagai sahabat kemanusiaan.
"Terima kasih kerana bersama kita membantu mereka yang memerlukan. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul", katanya.