fb fb fb fb fb

Penglibatan media, perkukuh pemahaman terhadap isu kesihatan awam

Bengkel Penglibatan Media: Mengukuhkan Laporan Kesihatan Termasuk Rintangan Antimikrob (AMR)

KUALA LUMPUR, 18 November – Pelbagai petugas dan profesional media dihimpunkan bagi memperkukuh pemahaman mereka terhadap isu-isu kesihatan awam yang semakin mencabar melalui Bengkel Penglibatan Media: Mengukuhkan Laporan Kesihatan Termasuk Rintangan Antimikrob (AMR) anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bengkel berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan kefahaman mengenai Rintangan Antimikrob (AMR) sebagai ancaman kesihatan global, selain mendalami isu-isu kesihatan utama negara termasuk penyakit tidak berjangkit (NCD), kawalan tembakau, obesiti, vaksinasi dan usaha memperluas perlindungan kesihatan sejagat.

Menurut Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Rabindra Abeyasinghe, penglibatan aktif media dalam memahami isu kesihatan adalah penting untuk memastikan maklumat yang disampaikan kepada orang ramai adalah tepat serta berasaskan bukti saintifik.

“Kami melihat keperluan mewujudkan hubungan jangka panjang dengan pihak media kerana peranan mereka sangat penting dalam memaklumkan orang ramai serta meningkatkan kesedaran awam mengenai penggunaan antibiotik secara berhemah.

Melalui sesi ini, kami berharap dapat menjalinkan kerjasama berterusan dengan pihak media bersama KKM untuk memanfaatkan peranan penting mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Datuk Dr. Mohd Azman Yacob, menegaskan kepentingan hubungan strategik antara KKM, WHO dan media dalam meningkatkan mutu pelaporan berita kesihatan negara.

“Ini satu langkah yang sangat baik kerana kita tahu bahawa jika hanya bergantung kepada KKM semata-mata, mungkin sukar untuk melaksanakan usaha besar seperti memerangi AMR.

Sebab itu kita perlukan kerjasama rapat dengan semua media bagi memastikan objektif kita dapat dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” ujarnya.

Bengkel tersebut turut memberi penekanan kepada kemahiran komunikasi berasaskan bukti dan kaedah menangani salah maklumat, selaras dengan keperluan meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat.

Ia dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara pengamal media, KKM dan WHO, sekali gus meningkatkan ketepatan serta kualiti laporan kesihatan di Malaysia.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN