fb fb fb fb fb

Pembaharuan dalam kurikulum sekolah bermula sesi 2027

Kementerian Pendidikan melaksanakan pembaharuan terhadap Kurikulum Persekolahan 2027 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 November - Pembaharuan besar sedang dilaksanakan terhadap Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dengan menumpukan usaha memperkukuh asas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari peringkat awal persekolahan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kurikulum baharu itu akan memperkenalkan pendekatan pembelajaran bersepadu berasaskan projek yang menekankan elemen teknologi, kejuruteraan dan digital bermula Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga.

“Berasaskan projek yang menggabungkan elemen pendidikan seperti sains, teknologi, digital, seni, muzik dan kesihatan. Pendekatan ini memberi peluang murid meneroka aplikasi teknologi dan digital secara praktikal, termasuklah elemen sains seterusnya diperkembangkan di Tingkatan Satu hingga Tiga bagi membantu mereka mengenali pasti potensi diri serta menanam minat mendalam terhadap bidang berkaitan," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menyambut baik cadangan agar murid menjalani latihan amali di kilang berteknologi tinggi, dan memaklumkan KPM telah melaksanakan kerjasama industri melalui lawatan, bengkel serta program MADANI TVET Lestari bersama Vitrox Academy.

Selain itu, KPM merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Selangor dan Yayasan Sime Darby atas inisiatif pensijilan profesional dan pengalaman industri untuk murid Kolej Vokasional, melibatkan ratusan pelajar dan pembiayaan kemahiran bernilai tinggi.

Tegas Wong, transformasi menerusi KP2027 adalah langkah penting memastikan generasi akan datang dilengkapi kemahiran TVET selaras tuntutan ekonomi digital dan teknologi masa depan.

EMMI NORALIZA ADNAN