fb fb fb fb fb

Penghadang jambatan bukan penyelesaian, fokus kesihatan mental

Foto BRENAMA

GEORGE TOWN, 18 November - Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bercadang untuk membina penghadang di sepanjang Jambatan Pulau Pinang susulan beberapa insiden bunuh diri yang berlaku kebelakangan ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Danial Gooi Zi Sen berkata, pembinaan penghadang bukanlah penyelesaian sebenar kerana isu berkenaan berpunca daripada masalah kesihatan mental yang memerlukan perhatian dan intervensi lebih menyeluruh.

Sebelum ini, terdapat pihak yang mencadangkan supaya langkah keselamatan tambahan diambil bagi mencegah insiden bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang serta Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

“Kalau kita memasang penghadang di kedua-dua jambatan, maka secara logiknya semua bangunan tinggi juga perlu dipasang penghadang sekiranya isu kesihatan mental tidak ditangani dengan serius.

"Saya berpendapat bahawa usaha promosi dan advokasi berkaitan kesedaran kesihatan mental perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat,” katanya di perkarangan Dewan Undangan Negeri, Pulau Pinang.

Kejadian bunuh diri di atas Jambatan Pulau Pinang terus berulang, Daniel Gooi berpendapat, kempen advokasi dan pembentukan sahsiah yang sejati lebih efektif daripada membina penghadang.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN