fb fb fb fb fb

Selangor dalam peringkat awal kajian pembangunan tenaga nuklear

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari/ BERNAMA

SHAH ALAM, 18 November - Selangor kini berada dalam peringkat awal kajian pembangunan tenaga nuklear bagi memenuhi keperluan tenaga masa depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata fokus ketika ini adalah membina kapasiti sumber manusia terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau menjelaskan teknologi yang dibincangkan adalah berkaitan penjanaan kuasa nuklear, bukan senjata, bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

Katanya, Selangor perlu bersedia kerana kebergantungan kepada tenaga fosil seperti gas dan arang batu semakin berisiko, selain kos import yang meningkat.

"Tapi bagi saya, biar kita bersedia, terutama kekuatan dan keupayaan kita sendiri iaitu pegawai-pegawai kita, penggerak pegawai-pegawai dan juga jurutera. Ini yang sedang ditentukan dari peringkat awal sebelum kita membawa teknologi itu dengan tergesa-gesa.

"... dan mungkin akan menimbulkan keresahan kepada masyarakat tanpa ada persediaan. Kita sedang meneliti kemungkinan untuk melaksanakannya dan kita bina kapasiti itu dengan membawa sumber manusia kita. Kalau kita tidak buat lagi, mereka boleh bekerja.

"Saya pun berjumpa dengan beberapa pegawai kita ataupun anak Selangor yang bekerja di China, di loji rawatan nuklear ataupun loji penjanaan kuasa nuklear di sana dan ini bukannya satu negara yang asing.

"Malahan, saya anggap ia satu permata yang harus dibawa balik dan boleh mengembangkan di Malaysia. Kita tengoklah... kita ada dalam mungkin 10 orang di peringkat awal, China dan juga negara-negara lain, bukan China sahaja. Setakat ini yang tawarkan adalah Singhua di China dan kita sedang meneroka tentang negara negara lain.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  di perkarangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam.

ROSLINA BINTI DIN