fb fb fb fb fb

Kedudukan strategik Perlis-Thailand, manfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan buat negara

CHUPING, 15 Mac- Nilai dagangan terkini Malaysia-Thailand adalah berjumlah AS$23 bilion.

Daripada jumlah itu, AS$10.5 billion disumbangkan melalui perdagangan antara sempadan.

Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata ketika lawatan rasmi pertamanya ke Thailand pada Februari lepas, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mensasarkan nilai perdagangan kepada AS$30 bilion menjelang tahun 2025.

Kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan sempadan Malaysia-Thailand memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan.

Penubuhan Perlis Inland Port (PIP) amat tepat pada masanya bagi merancakkan perdagangan dengan Thailand dan mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Chuping Vallley Industrial Area (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley, kata Perdana Menteri.

"PIP mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi. Ini akan menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos Pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di CVIA," kata Ismail Sabri semasa berucap pada Majlis Pelancaran Perlis Inland Port (PIP) dan Bonded Road di sini, pagi tadi.

Pelancaran disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.


(Raja Perlis dan Raja Muda Perlis berkenan melihat prototaip pembangunan projek PIP bersama Perdana Menteri dan Menteri Besar Perlis)

Projek PIP ialah salah satu projek strategik Nasional dalam Wilayah NCER dan pelancarannya amat tepat ketika negara melalui proses pemulihan selepas terkesan akibat pandemik COVID-19.

CVIA dijangka bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan.

"Walaupun baru dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan."

"Sehubungan itu, NCIA akan terus meningkatkan sistem hubungan pengangkutan yang bersepadu dengan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang holistik, membolehkan PIP mempertingkatkan daya tarikan pelabur ke NCER," tambahnya.

Setelah sekian lama dikenali sebagai negeri yang berteraskan pertanian, Perlis kini bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA.

Media Baharu