fb fb fb fb fb

Usaha naik taraf perkhidmatan 4G dipergiat

KUALA LUMPUR, 15 Mac - Sehingga 25 Januari sebanyak 1,466 stesen pemancar 3G sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G oleh syarikat penyedia perkhidmatan utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin, usaha untuk menaik taraf kepada perkhidmatan 4G itu akan terus dilaksanakan segera pada tahun ini dengan menggunakan spektrum sedia ada bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti jalur lebar mudah alih kepada pengguna.

Jelasnya rangkaian teras sedia ada turut dinaik taraf kepada gentian optik di sesetengah kawasan bagi menampung kapasiti radio yang lebih tinggi dalam perkhidmatan 4G.

Dengan menaik taraf rangkaian teras dan stesen pemancar 4G, akan dapat memastikan akses jalur lebar mudah alih yang lebih bermutu dengan kualiti yang lebih baik kepada pengguna dapat disediakan setelah penamatan perkhidmatan 3G secara menyeluruh kelak.

(Zahidi menjawab pertanyaan wakil Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat)

"Melalui Pelan JENDELA juga sebanyak 2,175 menara baharu akan dibina untuk memperluaskan liputan 4G terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Setakat suku keempat 2021, sebanyak 148 menara telah siap dilaksanakan. Sebagai tambahan, sebanyak 5,394 stesen pemancar sedia ada telah dan akan dinaik taraf kepada 4G untuk meningkatkan kualiti liputan kepada pengguna. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,500 stesen pemancar telah siap dinaik taraf," katanya di sini.

Tambah Zahidi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah merancang untuk meningkatkan aktiviti audit pengukuran kualiti perkhidmatan bermula tahun ini bagi semua pembekal perkhidmatan di seluruh Malaysia termasuk kawasan pedalaman atau luar bandar.

Sepanjang tahun ini, sebanyak 3,000 lokasi telah dirancang di seluruh Malaysia bagi aktiviti audit pengukuran yang memfokuskan semua lokasi yang pernah menerima aduan liputan pada tahun lalu.


Media Baharu