Kedah mula menerima hujan, berikan sedikit kelegaan

Foto SAMSUDIN OLI MOHAMED

KUBANG PASU, 29 Mac – Beberapa kawasan di Kedah mula menerima hujan, petang ini selepas cuaca panas dan kering melanda negeri itu sejak beberapa bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan berterusan kira-kira 15 minit di Kota Setar, Sungai Petani dan Kubang Pasu, menyejukkan keadaan petang tadi.
  • Penduduk Taman Seri Halban, Jitra mengucap syukur; hujan singkat itu meringankan kepanasan selepas beberapa hari.
  • Masjid seluruh Kedah mengadakan solat sunat istisqa' Khamis lalu bagi memohon turunnya hujan.

Ia melibatkan daerah Kota Setar, Sungai Petani dan Kubang Pasu dengan hujan berterusan selama 15 minit kira-kira pukul 4 petang tadi.

Di Kubang Pasu, penduduk Taman Seri Halban, Jitra meluahkan rasa syukur apabila hujan yang turun seketika petang tadi, dapat meredakan cuaca panas yang melanda sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini kebanyakkan penduduk terpaksa mengehadkan aktiviti harian termasuk keluar rumah pada waktu siang berikutan suhu yang terlalu tinggi dan tidak selesa.

Seorang pesara dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Samsudin Oli Mohamed ketika dihubungi RTM berkata cuaca panas sebelum ini menyebabkan orang ramai memilih untuk keluar pada waktu malam bagi mengelakkan bahang cuaca.

“Walaupun hujan turun dalam tempoh yang singkat, namun ia cukup untuk menyejukkan dan memberi kelegaan kepada orang ramai.

“Ia merupakan satu rahmat selepas penduduk khususnya di kawasan utara tanah air terpaksa berdepan dengan cuaca panas dan kering selama beberapa bulan,” katanya.

Khamis lalu, masjid di seluruh Kedah mengadakan solat sunat istisqa’ bagi memohon hujan susulan cuaca panas di negeri itu termasuk beberapa daerah yang berada pada tahap dua (gelombang haba).