fb fb fb fb fb

Kebocoran gas ammonia, 10 pekerja kilang dikejar ke hospital

siasatan mendapati kejadian membabitkan kebocoran gas ammonia daripada injap tangki penyimpanan gas ammonia.

SHAH ALAM, 16 Februari- Seramai 10 pekerja kilang dikejarkan ke hospital susulan kebocoran gas ammonia di sebuah kilang di Jalan Keluli 1, Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, Shah Alam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar mengesahkan menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 11.15 pagi tadi.

"Siasatan mendapati kejadian membabitkan kebocoran gas ammonia daripada injap tangki penyimpanan gas ammonia.

"Mangsa melibatkan lapan pekerja wanita dan dua pekerja lelaki termasuk seorang pekerja kilang bersebelahan dan keadaan mereka disahkan stabil.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam bagi rawatan susulan dan kerja-kerja menutup injap bocor kemudian dilakukan oleh Pasukan Hazmat (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya)," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menerusi satu kenyataan berkata pasukannya dan JBPM berada di tempat insiden untuk mengawal keadaan tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM