KUALA LUMPUR, 16 Februari- Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun keempat 2023 meningkat sebanyak 3.0 peratus berbanding 3.3 peratus pada suku tahun ketiga 2023.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sektor perkhidmatan memacu prestasi keseluruhan, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian yang menunjukkan peningkatan selepas mencatatkan penurunan pada suku tahun sebelumnya.
"Prestasi ekonomi Malaysia pada suku keempat 2023 ini adalah didorong terutamanya oleh perkembangan dalam perbelanjaan penggunaan swasta dan juga pembentukan modal tetap kasar. Perbelanjaan penggunaan akhir swasta atau perbelanjaan isi rumah bertumbuh pada suku keempat ini sebanyak 4.2 peratus", katanya.
Beliau berkata demikian secara maya dalam pengumuman Prestasi Ekonomi Malaysia Suku Tahun Keempat 2023.
Prestasi ekonomi Malaysia adalah seiring dengan negara ASEAN lain yang menunjukkan pertumbuhan sederhana pada 2023. Ini termasuk Singapura, Indonesia dan Filipina.