fb fb fb fb fb

Majlis Raja-Raja perkenan tubuh Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan

Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Februari- Majlis Raja-Raja memberi perkenan untuk menubuhkan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata jawatankuasa baru itu akan memainkan peranan untuk melihat dan memantau segala isu yang membabitkan Mahkamah Syariah.

"Jawatankuasa kehakiman Syariah Kebangsaan terdiri daripada Ketua-Ketua Hakim Syarie negeri-negeri yang menjaga mahkamah-mahkamah syariah negeri.

"Sekarang nama-nama Pengerusi dan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan ini akan dipersembah kepada Majlis Raja Raja. Jadi ini adalah jawatankuasa yang baru bawah MKI dan jawatankuasa ini akan memainkan peranan untuk melihat isu-isu yang berlaku di mahkamah syariah sepanjang masa," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Mahmoodiah, di sini.

Sementara itu berkenaan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi, Mohd Na'im berkata ia telah bersidang sebanyak lapan kali antara Disember lepas hingga bulan ini.

"Tuanku Selangor selaku Pengerusi MKI sudah beri tempoh setahun untuk mereka sediakan syor-syor.

"Tempoh setahun itu sebab terma rujukan Jawatankuasa Khas ini ia bukan sahaja merujuk kepada kes Iki Putra Mubarak dan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, tetapi untuk melihat secara luas bagaimana Mahkamah Syariah, institusi kehakiman syariah ini, boleh terus dimartabat, dilindungi dan seterusnya diperkasa," katanya.

Mohd Na'im dalam pada itu berkata pihaknya mencadangkan supaya Jabatan Penguatkuasaan Syariah diwujudkan di setiap negeri dalam usaha memperkasakan lagi undang-undang syariah.

Beliau berkata buat masa ini Jabatan Agama Islam Negeri hanya mempunyai bahagian penguatkuasaan dan bukan sebagai sebuah jabatan.

"Sebagai contoh di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dahulu ada bahagian pendakwaan syariah dan sekarang bahagian itu sudah menjadi Jabatan Pendakwaan Syariah, namun bahagian penguatkuasaan masih di bawah JAWI.

"Jadi untuk memastikan supaya bahagian penguatkuasaan ini boleh bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi secara eksekutif untuk melakukan siasatan dan tangkapan, maka ada keperluan untuk menjadikannya sebagai sebuah jabatan," katanya.

Bagaimanapun Mohd Na'im berkata, cadangan itu hanya akan dipertimbangkan secara serius selepas negeri-negeri mewujudkan satu jabatan pendakwaan syarie yang berasingan.

Perkara itu disebabkan penguatkuasaannya di kebanyakan negeri berada bawah Jabatan Agama Islam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI