fb fb fb fb fb

Kebenaran lawat depot tahanan : KDN nafi dakwaan laporan UNHCR

Dakwaan yang dilaporkan media antarabangsa, kononnya UNHCR tidak mendapat kebenaran melawat perlu diperbetulkan bagi mengelak salah faham komitmen Malaysia dalam pengurusan depot tahanan / Foto RTM

PUTRAJAYA, 11 Disember - Malaysia menafikan dakwaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berhubung kebenaran melawat depot tahanan Imigresen di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan setakat pengetahuan beliau, hanya dua permohonan lawatan daripada UNHCR diterima tahun ini, dengan kedua-duanya telah diproses mengikut prosedur.

Tegasnya, dakwaan yang dilaporkan media antarabangsa, kononnya UNHCR tidak mendapat kebenaran melawat perlu diperbetulkan bagi mengelak salah faham komitmen Malaysia dalam pengurusan depot tahanan.

“UNHCR, semalam dalam New York Times melaporkan Kuala Lumpur tidak memberi akses masuk ke depoh imigresen.

"Tahun ini, baru dua kali KDN terima surat permohonan UNHCR untuk melawat depoh Imigresen dan UNHCR kata Malaysia sekat,"katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

Dalam laporan New York Times, UNHCR mendakwa pihaknya disekat sejak 2019 daripada melawat kebanyakan depot tahanan, sekali gus menjejaskan kemampuan mereka untuk mengenal pasti pelarian serta menilai keadaan pusat tahanan.

Laporan itu turut menyebut akses UNHCR diberikan melalui proses permohonan, dengan merujuk kepada dua lawatan yang diluluskan.

FAUZIAH ABD RAHMAN