KUALA LUMPUR, 11 Disember- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkukuh usaha memerangi kes keganasan dan gangguan seksual kanak-kanak melalui peruntukan RM20 juta tahun depan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dana itu akan dimanfaat kepada peningkatan peralatan forensik digital, pembangunan kepakaran pegawai penyiasat, serta perluasan program advokasi pencegahan di sekolah dan komuniti.
"Kami menggesa agar tumpuan segera diberikan kepada pengukuhan peralatan forensik digital dan pembangunan kapasiti (capacity building) pakar tempatan. Sekiranya kepakaran domestik terhad, program latihan dan pendedahan di luar negara perlu dipertimbangkan."
"Selain itu, adalah penting untuk memperhebatkan kempen kesedaran dan mewujudkan Pusat Aduan Setempat (One-Stop Centre) bagi memastikan tindakan bersepadu dalam membanteras masalah ini," kata Datuk Seri Saifuddin kepada pemberita, hari ini.
Jelas beliau, peruntukan besar berkenaan diumumkan susulan trend peningkatan membimbangkan kes yang melibatkan kanak-kanak dan penjaga.
Sejak 2021 hingga November 2025, sebanyak 479 kes keganasan dan 3,042 kes gangguan seksual direkodkan di seluruh negara.
Beliau turut menegaskan bahawa KDN terus mengguna pakai rangka undang-undang sedia ada, termasuk Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan peruntukan Kanun Keseksaan, dengan sokongan Child Interview Centre bagi memastikan siasatan melibatkan kanak-kanak dibuat tanpa menjejaskan emosi dan trauma mangsa.
Kerjasama erat juga dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Interpol dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk perlindungan dan rawatan mangsa serta mencegah eksploitasi dalam talian.