KUALA LUMPUR, 22 Januari- Malaysia berdiri bersolidariti bersama rakyat dan kerajaan Turkiye susulan kebakaran dahsyat yang berlaku di pusat peranginan ski di Pergunungan Koroglu Turkiye.
Perkara berkenaan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas insiden yang meragut sekurang-kurangnya 76 nyawa dan ramai yang cedera.
Menerusi hantaran media sosial, Perdana Menteri meluahkan rasa simpati kepada mangsa, keluarga dan mereka yang terjejas ekoran tragedi berkenaan.
Menurut media antarabangsa, selain 76 terbunuh, berpuluh-puluh lagi cedera akibat kebakaran yang bermula sekitar pukul 3.27 pagi di restoran tingkat 11 Hotel Grand Kartal di pusat peranginan ski Kartalkaya.