PUTRAJAYA, 22 Januari - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil Harith Iskandar bagi mendapatkan perincian berhubung isu kontroversi dikaitkan dengan pelawak dan pelakon itu.
JAKIM juga telah membuat laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan dan tindakan lanjut kerana telah menimbulkan keresahan umat Islam.
Menerusi satu kenyataan Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan telah dibuat.
Beliau juga meminta semua pihak bertenang dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
"JAKIM tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang mempersenda ajaran dan menyinggung sensitiviti umat Islam.
"Semua pihak perlu mengamalkan sifat hormat dan toleransi dalam kehidupan bermasyarakat," kata Dr Sirajuddin.
Baru-baru ini, pelakon dan pelawak itu telah memuat naik di Facebook mengenai isu "Ham" yang disamakan dengan Nabi Muhammad S.A.W dan tular di media sosial.