DAVOS, 22 Januari- ASEAN mengambil pendekatan yang penuh berhati-hati dalam isu berkaitan Myanmar, kerana perkara yang paling kritikal adalah bagi menjamin wujudnya keamanan di negara itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan ASEAN bukanlah dalam bentuk menguatkuasakan sistem tertentu, sebaliknya memastikan wujudnya keterangkuman dan keamanan, di samping kepentingan memelihara demokrasi.
"Petanda positif pertama dalam beberapa bulan terakhir adalah kesediaan untuk berdialog, dan saya memberi jaminan kepada mereka melalui rakan sekerja serta agensi-agensi kami, terutamanya agensi perisikan, bahawa kami bukan di sini untuk memaksa.
"Sistem tadbir urus, walaupun dalam ASEAN, agak berbeza. Malaysia, Singapura, Vietnam, atau Laos, masing-masing berbeza. Selagi mereka mewakili sejenis demokrasi yang bersifat partisipasi, kami tidak akan memaksa," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together”, mengenai keutamaan Kepimpinan ASEAN-Malaysia 2025 dan peranan penting ASEAN dalam membentuk landskap ekonomi.