fb fb fb fb fb

Kebakaran Pantai Dalam: bayaran kos pindah ditanggung - Datuk Fahmi

Datuk Fahmi Fadzil / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - 14 keluarga mangsa kebakaran di Pantai Dalam yang kehilangan tempat tinggal baru-baru ini akan dipindahkan ke rumah transit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai penempatan sementara.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata pihaknya bersama agensi terlibat telah mengambil langkah segera, termasuk menanggung kos perpindahan mereka terlibat.

"Daripada 14 mangsa terlibat, sejumlah dibenarkan untuk pindah ke rumah transit bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Saya dimaklumkan setiap daripada keluarga ini perlu membayar RM400. Justeru semua bayaran tersebut akan ditanggung oleh saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam, di sini hari ini.

Beliau berkata DBKL juga akan menanggung bayaran sewa bagi enam bulan pertama untuk semua keluarga mangsa kebakaran.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas sumbangan RM20,000 untuk disalurkan kepada semua mangsa.##

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN