KUCHING, 17 Ogos - Kaedah bagi mempermudahkan Sarawak menggunakan Bahasa Inggeris untuk Dual Language Programme (DLP) bagi subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan dibincangkan esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkara itu menjadi antara agenda utama Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan berlangsung di ibu negara.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 menjelaskan, meskipun dasar pendidikan nasional menekankan keseragaman kurikulum, kerajaan persekutuan bersedia mencari kaedah terbaik agar Sarawak diberi fleksibiliti melaksanakan DLP berkenaan.
“Sudah pasti cabaran datang daripada dasar peringkat nasional, termasuk dasar bahasa. Jadi kita akan cari kaedah memudahkan tuntutan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran bidang STEM. Perkara ini mungkin dapat diputuskan esok,” katanya.
Selain isu pendidikan, mesyuarat itu turut dijangka memberi perhatian kepada aspek kesihatan, termasuk cadangan penubuhan Pusat Kanser Sarawak.
Datuk Seri Fadillah berkata demikian kepada media selepas menghadiri Bicara Eksekutif Madani Institut Aminuddin Baki di Santubong, Kuching.