KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Masyarakat diseru untuk menghormati ikrar yang telah dibuat individu penderma organ dalam usaha meningkatkan kadar pendermaan dalam negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha tersebut terganggu susulan tentangan kebenaran daripada waris kekal hingga menyebabkan Malaysia masih berdepan jurang besar dalam aspek tersebut.
Jumlah penderma selepas kematian kekal kecil, iaitu hanya merekodkan 46 kes atau 1.33 penderma per sejuta penduduk, tahun lalu.
Sehubungan itu, tema ‘Derma Organ: Warisku, Hormati Ikrarku’ dipilih bagi Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Tisu (MKPO) 2025.
"Dengan tema ini, kita berharap program kesedaran akan lebih berkesan dan memberi keinsafan, sekali gus meningkatkan kejayaan pelaksanaan pendermaan organ.
"Sudah tiba masanya kita bertindak. Ikrar sahaja tidak mencukupi, kita mahu waris menghormati hak pengikrar kerana ia adalah usaha mulia yang menyelamatkan nyawa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Tisu (MKPO) Peringkat Kebangsaan 2025 di ibu negara.
Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly organ yang paling diperlukan ketika ini ialah buah pinggang, hati, jantung serta tisu dan tulang.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, seramai 16,635 pengikrar baharu mendaftar melalui modul 'Organ Donor Pledge' dalam aplikasi MySejahtera sepanjang 2025.
Manakala, sebanyak hampir 200 kes pendermaan tisu dilaksanakan pada tahun lalu, melibatkan kornea, injap jantung dan lain-lain.
Selain, sebanyak 74 peratus daripada transplan kornea kini menggunakan tisu yang didermakan oleh warganegara Malaysia sendiri.
Setakat Julai lalu, lebih 10,000 pesakit buah pinggang masih menunggu transplan, selain pesakit hati, jantung dan paru-paru.