IPOH, 17 Ogos - Sebanyak 325 ekor haiwan terdiri daripada 203 anjing dan 122 kucing, telah dimandulkan menerusi Program Perak Pawsitive Initiative 2025 bagi Daerah Kinta.
Program lima hari di Dewan Bulan Sabit Merah, Ipoh itu merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan klinik veterinar dalam menangani isu haiwan terbiar.
Selain pemandulan bersubsidi, program turut menyediakan perkhidmatan vaksinasi dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pemilik haiwan peliharaan yang berdaftar.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching, berkata kerajaan negeri berhasrat meluaskan kempen tersebut ke seluruh daerah dengan kerjasama strategik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), klinik veterinar dan NGO tempatan.
“Di bawah Perak Pawsitive, memang hasrat kerajaan untuk terus meluaskan kempen ini di seluruh negeri Perak. Cuma kita perlu dapatkan rakan strategik di setiap daerah sebelum merancang pelaksanaannya,” katanya.
Inisiatif tersebut turut menerima sambutan menggalakkan daripada pemilik haiwan kerana kos rawatan lebih rendah berbanding swasta.
Bagi tahun ini, kerajaan negeri menyasarkan 1,000 ekor haiwan dimandulkan sebagai langkah menyeluruh mengawal populasi haiwan jalanan secara sistematik, berperikemanusiaan dan mampan.