DUNGUN, 17 Ogos- Seorang pelajar dipercayai lemas ketika sedang mandi bersama tiga lagi rakannya di Sungai Dungun, dekat Kampung Delong, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu,mangsa dikenali sebagai Nik Zarif Qausar Nik Sulaiman, 12 tahun telah dihanyutkan arus sungai manakala tiga lagi rakannya sempat menyelamatkan diri.
Mangsa yang merupakan pelajar Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Delong pergi ke sungai berkenaan untuk mandi kira-kira pukul 3.00 petang.
Kejadian tersebut disedari seorang penduduk kampung, Rosdi Ab Rahman ketika beliau turun ke sungai untuk melihat sangkar ikannya, sebelum mendengar rakan mangsa menjerit meminta tolong.
Bagaimanapun, cubaan Rosdi untuk menyelamatkan mangsa gagal berikutan arus sungai yang deras.
“Saya sudah tidak larat untuk pergi dan mula berasa sesak nafas, lalu saya berpatah balik naik ke atas sangkar untuk mengambil bot. Namun, pada masa itu enjin bot pula sukar untuk dihidupkan dan timbul pelbagai masalah.
Setelah enjin berjaya dihidupkan, saya terus menghalakan bot ke arahnya. Saya cuba untuk mencapai mangsa, tetapi tidak sempat kerana dia sudah tenggelam, kira-kira dua kaki sahaja daripada saya," kata Rosdi kepada pemberita.
Beliau kemudian menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisir sungai telah dilakukan segera sejurus menerima laporan pukul 9.00 malam tadi.
Pelbagai agensi turut membantu antaranya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Amal, RELA dan penduduk kampung.
Pasukan SAR telah memulakan pencarian di air bermula pukul 7.00 pagi tadi dan sehingga pukul 1.00 petang tadi mangsa masih belum ditemukan.