BENTONG, 15 Jun- Lokasi tingkat 3 di Sky Avenue, Genting Highlands ditutup demi keselamatan pengunjung.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd. Kahar mengesahkan bukan taman tema Genting Highlands yang terbakar sebaliknya adalah bangunan Sky Avenue.
Kebakaran tersebut tidak melibatkan mangsa namun seorang warga emas berasal dari Singapura yang terhidu asap tebal di luar bangunan itu turut di hantar ke klinik bagi menerima rawatan .
"Untuk mangsa setakat ni seorang sahaja, mangsa itu hanya terhidu asap dan pihak keselamatan Genting Highland telah menghantar mangsa ke klinik. Jadi, keadaan mangsa stabil,"katanya.
Bangunan yang terbakar itu bermula dari tingkat tiga dan turun ke tingkat dua dan naik di tingkat empat tersebut dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7 malam tadi .
Sementara itu Pengarah JPBM Pahang, Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa berkata anggotanya menerima panggilan pukul 4.55 petang dan pasukan bomba tiba dalam masa enam minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Beliau berkata, kebakaran melibatkan fibre yang menutupi dinding luar bangunan yang berukuran 30 kaki x 140 kaki persegi dengan peratusan kebakaran adalah 50 peratus.
Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh dua jam.
Jelasnya, pihak bomba akan melakukan siasatan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca kejadian kerana bangunan sky avenue merupakan salah satu tempat tumpuan .
Beliau turut memaklumkan, operasi pemadaman semalam melibatkan 78 anggota dari lima balai dan anggota polis digerakkan ke lokasi nahas.
Operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos 200 kaki, empat nozzle dan mengambil air dari pili bomba bertekanan untuk memadamkan kebakaran.