(Foto FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)
BETONG, 1 April- Dua orang melecur dan seorang sesak nafas dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang yang dihuni seramai 129 orang di sini, Sarawak, semalam.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikejarkan ke lokasi kejadian bersama beberapa buah jentera termasuk sebuah jentera FRT dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 3.32 petang.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba (PPGB) Vincent Baling Yabi berkata, Rumah Peter Igoh Nanga Mujan yang mempunyai 33 buah pintu itu musnah 100%.
Kebakaran turut memusnahkan tiga buah motosikal yang diletakkan berdekatan rumah panjang terbabit.
Vincent berkata, pihaknya menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan sumber air terbuka dari sungai berhampiran.
Bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke 12 unit stor penghuni yang terletak enam meter dari rumah panjang berkenaan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.30 malam.
(Foto FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)