(Ahmad Zahid)
BAGAN DATUK, 1 April- Barisan exco kerajaan negeri Melaka perlu menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan, sepertimana di peringkat Persekutuan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan akan diadakan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.
Ujar beliau, langkah itu akan menggambarkan kebersamaan dan perkongsian kuasa meskipun partinya memperoleh majoriti besar iaitu sebanyak 3/4 suara majoriti.
"Begitu juga dengan portfolio yang akan diagih-agihkan nanti, saya yakin akan dibincangkan.
"Tumpuan diberikan dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri Melaka dengan meneruskan kesinambungan yang telah dibuat ketua menteri sebelum ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Tadarrus al-Quran Perdana sempena Ramadan di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut berkata, kestabilan Kerajaan Perpaduan di Melaka bakal menyumbangkan kemenangan parti-parti komponen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.
Semalam, Datuk Seri Ab Rauf yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 berkata beliau akan mengumumkan barisan Exco yang baharu dalam tempoh 48 jam.
(Ahmad Zahid menghadiri pada Majlis Tadarrus al-Quran Perdana sempena
Ramadan di Bagan Datuk)