fb fb fb fb fb

Kebakaran di Taman Rakyat Bestari, sebuah rumah musnah, dua lagi rosak

Keadaan sebuah rumah musnah terbakar di Taman Rakyat Bestari, Kampung Bukit Kuang, Kemaman

KEMAMAN, 16 Jun- Sebuah rumah teres musnah manakala dua buah lagi rosak dalam satu kebakaran di Taman Rakyat Bestari, Kampung Bukit Kuang, di sini malam tadi.
 
Bagaimanapun, dalam kejadian kira–kira pukul 10.00 malam itu, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
 
Kebakaran dikatakan bermula di salah satu ruang makan sebuah rumah sebelum merebak ke dua rumah lain di sebelah bahagian kiri dan kanan rumah.
 
Menurut mangsa yang merupakan seorang pesakit lumpuh, Rosmadi Abdul Razak, isterinya menyedari kebakaran itu terus bergegas membawanya dan anak keluar rumah menyelamatkan diri sehelai sepinggang.
 
"Isteri bagitahu ada bau hangit dan dia terua bawa saya keluar, tetapi saya tidak larat untuk berjalan sebab sakit. Semasa kejadian saya terus pergi ke bahagian dapur, tetapi tidak baleh nak masuk sebab asap tebal, penuh dengan asap.

"Saya cakap lebih baik keluar dahulu, biar dahulu benda dalam rumah. Kita selamatkan kereta, motosikal. Semua barang dalam rumah tidak dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu Rohaiza Mohd Zahari yang ditemui berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan suaminya memaklumkan rumah jiran sebelah terbakar

"Semasa kejadian anak yang kecil tegah tidur, dan semasa bangun daripada tersedar memang terus capai yang mana ada di depan mata.

"Selepas itu, saya keluar dari rumah, api terus marak. Selepas setengah jam kemudian api masih marak," katanya.
 
Rohaiza berkata, walaupun masih trauma dengan kejadian tersebut dia tetap bersyukur selepas anggota bomba berjaya menyelamatkan kebakaran daripada merebak ke kediamannya.
 
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Hanif Che Khalid ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.03 minit malam.
 
Menurut Mohd Hanif, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dan BBP Kijal bersama dua jentera bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
 
Operasi pemadaman telah ditamatkan sepenuhnya pukul 12.05 minit tengah malam dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
 
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya akan membina penempatan baharu untuk mangsa seberapa segera selepas menunggu laporan forensik daripada pihak bomba.
 
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI