BINTULU, 9 Ogos – Kebakaran melibatkan 'Cast House' yang digunakan sebagai tempat penyimpanan minyak diesel di Kilang Press Metal Samalaju di sini, hari ini berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.24 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bersama lima anggota digerakkan ke lokasi sejauh 27 kilometer.
“Setibanya di lokasi pada pukul 11.47 pagi, kebakaran didapati telah dikawal oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) kilang. Pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan buih (foam) bersumberkan air dari pili bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran melibatkan kawasan berkeluasan kira-kira 107 kaki lebar dan 258 kaki panjang, dengan kemusnahan 100 peratus. Operasi dikawal sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari.
Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.