KUCHING, 9 Ogos - Sepasang suami isteri warga emas, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kayu di Kampung Gita Lama, Jalan Pinang Jawa, musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Jamali Sahari, 63 dan Dayang Jebaah Awg Jemari, 65 bagaimanapun tdak mengalami sebarang kecederaan.
Laporan dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.09 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya bersama bantuan Balai Padungan bergegas ke lokasi.
"Kebakaran tersebut memusnahkan 100 peratus struktur kediaman dan api berjaya dikawal pada pukul 12.55 tengah hari," menurut PGO JBPM Sarawak.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.26 petang.
Seramai 15 anggota bersama dua jentera FRT dan sebuah EMRS terlibat dalam operasi tersebut.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.