fb fb fb fb fb

Keabsahan Anwar sudah terbukti, ini masa untuk tumpu pada negara - Shafie Apdal

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 20 Disember - Titik noktah keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri diharap mampu mengembalikan fokus kerajaan untuk mentadbir dan memacu semula pertumbuhan negara.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan pelabur asing ke Malaysia.

(Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal)

“Kita yakin perkara ini dapat terus membantu bukan hanya menstabilkan politik, bahkan dari segi ekonomi. Negara kita dapat memberi tumpuan kepada pengurusan masalah, contohnya bukan setakat kehidupan rakyat, tetapi juga pengangguran, inflasi, barang makanan serta masalah banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lobi Parlimen selepas menghadiri hari kedua sesi Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Ahli Parlimen Semporna itu, fokus kini juga perlu tertumpu kepada usaha meningkatkan kecekapan tadbir urus negara.

Ini sejurus Mini Bajet 2023 yang diluluskan hari ini menerusi peruntukan khas untuk perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107,718,676,650.

"Kalau kita tidak beri kelulusan kepada perbelanjaan, bukan hanya tanggungan rakyat yang ada, tapi pengurusan kerajaan dan ini akan membantu pengurusan kerajaan yang ada.

“Sebahagiannya itu kita katakan daripada segi projek sambungan sudah diluluskan dalam Belanjawan 2022 sebelum ini, cuma projek yang hendak dilaksanakan itu bukan projek baharu," katanya.

Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.

Keputusan itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media Baharu