fb fb fb fb fb

KDN tubuh jawatankuasa khas teliti isu kewarganegaraan

PUTRAJAYA, 9 Januari- Jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti isu berkaitan kewarganegaraan secara menyeluruh daripada pelbagai aspek. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keutamaan diberi melibatkan isu kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara dan wanita tempatan berkahwin dengan lelaki warga asing. 

“Saya akan memastikan proses permohonan kewarganegaraan dipermudah secara menyeluruh tanpa kompromi terhadap aspek keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Jabatan Pendaftaran Negara di sini. 

(Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri)

Beliau menjawab soalan berkaitan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa kerajaan akan memulakan proses pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. 

Pindaan pada Bahagian II Jadual ke-2 Perlembagaan Persekutuan itu adalah bagi membolehkan kanak-kanak terbabit mendapat kewarganegaraan Malaysia sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.

“Saya sahkan hal yang diumumkan oleh Datuk Seri Azalina dan jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan memberi sepenuh fokus kepada isu-isu kewarganegaraan ini nanti,” katanya lagi.

Tambah beliau, kertas kerja yang dihasilkan oleh jawatankuasa khas itu akan dibentang kepada jemaah menteri selewat-lewatnya bulan hadapan. 

Datuk Seri Saifuddin juga berkata, kebenaran yang diperoleh Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan, tidak mengganggu komitmen kerajaan untuk meminda Perlembagaan berhubung perkara itu. 

Beliau memaklumkan, kes itu akan diteruskan dengan memastikan ia melalui proses perundangan yang betul.

“Sementara kes ini dibicara di Mahkamah Persekutuan, ia tidak menghalang kerajaan untuk melihat pindaan Perlembagaan dalam isu kewarganegaraan,” ujarnya.

Media Baharu