fb fb fb fb fb

Menteri Agama dan pengurusan TH ke Arab Saudi, bincang urusan haji 2023

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 9 Januari- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bersama pengurusan Tabung Haji (TH) kini dalam lawatan kerja ke Arab Saudi untuk bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah bagi membincangkan urusan ibadah haji musim 1444H/2023M.

Tabung Haji menerusi hantaran di Facebook memaklumkan antara topik perbincangan adalah berkenaan jumlah asal kuota rasmi jemaah Haji Malaysia yang sebelum ini dikurangkan akibat COVID-19.

Bagi memastikan pengurusan haji Malaysia dalam keadaan terbaik, delegasi turut memohon agar kos-kos yang melibatkan urusan haji di tanah suci pada tahun ini dapat dimaklumkan lebih awal.

Selain itu, Program Makkah Route yang menjadikan Malaysia sebagai negara perintis bermula sejak tahun 2017 turut dibincangkan pada pertemuan ini.

Program ini memberi keselesaan kepada jemaah negara kerana tidak perlu melalui imigresen apabila tiba di Arab Saudi.

Malaysia turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan dan fasiliti baik yang sentiasa disediakan kepada para jemaah haji negara.

Menerusi pertemuan itu juga, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi telah memuji TH atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar
bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah/Foto FB Menteri)

Media Baharu