KUANTAN, 17 Januari- Sebanyak 50 buah bot pelbagai saiz akan diserahkan secara berperingkat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai tambahan aset dan keperluan untuk menjalankan operasi menyelamat ketika banjir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebanyak RM3.05 juta diperuntukkan bagi pembelian bot itu yang diperbuat daripada bahan 'High Density Polyethylene' (HDPR), jenis tahan lasak.
Katanya, setakat hari ini pihak kementerian menerima tujuh buah bot pelbagai saiz yang diberikan kepada negeri memerlukan di pantai timur, berdasarkan kesesuaiannya dalam operasi menyelamat penduduk yang terkena banjir.
"Kita akan beri fokus kepada kawasan-kawasan dan negeri-negeri berdepan risiko bencana. Apakah jenis-jenis yang diperlukan. Ini adalah sesuatu yang dibuat secara teliti oleh pegawai kita di KDN ini," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Markas Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini.
Tambahnya, bakinya 43 buah lagi akan diserahkan sejurus bot tersebut siap dalam tempoh 10 minggu.
Beliau turut menegaskan bahawa penyerahan bot tersebut tidak terlewat memandangkan banjir besar yang berlaku baru-baru ini adalah fenomena baharu selain kerajaan tidak memiliki aset mencukupi.
"Saya nak maklumkan seperti yang saya kata ini fenomena baru, kita bukan tidak ada aset cuma tidak mencukupi kita bukan agensi penyelamat kita hanyalah 'the frontliner' yang membantu awal untuk memaklumkan mereka menghadapi bencana. Jadi bot-bot yang digunakan adalah untuk membantu penduduk secepat mungkin, tambahnya.