fb fb fb fb fb

KD Lekir harumkan nama negara

(Kapal Diraja (KD) Lekir milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas menamatkan
Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 yang diadakan di Hawaii, Amerika Syarikat)

LUMUT, 3 September- Kapal Diraja (KD) Lekir milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengharumkan nama negara selepas menamatkan Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 yang diadakan di Hawaii, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Eksesais multilateral terbesar di dunia itu disertai oleh 29 buah negara melibatkan kira-kira 41 buah kapal perang dengan penyertaan 25,000 anggota seluruh dunia.

KD Lekir turut berjaya membuktikan kesiapsiagaan kapal menerusi penembakan peluru berpandu yang juga merupakan penembakan pertama dilaksanakan di luar perairan negara.

Komander Mohd Asri Dasman, Pegawai Memerintah KD Lekir berkata, "saya rasa benda paling berharga adalah kerja berpasukan yang kami terapkan sebelum pergi ke Hawaii ni mampu memberikan hasil yang positif.

"Terutamanya dengan kejayaan misil dan juga penglibatan dalam hampir kesemua latihan yang telah dirancangkan semasa di Hawaii yang lepas." Jelasnya.

(Anak-anak pegawai TLDM yang menanti kepulangan 'hero' mereka)

Menurut PAP Rosman Daud, Pegawai Waran II yang juga berkongsi pengalamannya ketika melakukan, "latihan dekat RIMPAC tu, semangat kami tetap bersatu padu dalam melakukan tugasan itu.

"Tidak dinafikan, tugas-tugas harian kita ni sememangnya susah."

Tambah TLS P. Logindaran, Laskar Kelas 1, "ini adalah pelabuhan pertama saya selama tiga bulan.

"Sebelum ini saya tak pernah pergi ikut di Lautan Pasifik, jadi saya berasa amat gembira dan ia merupakan satu cabaran baru kepada saya untuk melakukan tugas di dalam kapal." Jelasnya kepada pemberita.

Kepulangan kapal perang tersebut disambut Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Mohd Ajis di Jeti Operasi, Tambatan Pangkalan Lumut,
pagi tadi.

Dalam ucapannya, beliau berkata kejayaan KD Lekir mengharungi cabaran pelayaran serta melaksanakan siri latihan sepanjang Eksesais RIMPAC merupakan pencapaian yang membanggakan.

Ia juga membuktikan keupayaan dan ketersediaan warga TLDM dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan perairan negara.

Media Baharu