fb fb fb fb fb

Kerajaan beri terus tablet PerantiSiswa, tak perlu pulang balik - PM

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama sebahagian penerima peranti
selepas melancarkan Inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)/ Foto BERNAMA)

SHAH ALAM, 3 September - Kerajaan bersetuju memberikan tablet PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada penerima inisiatif itu, tanpa perlu memulangkannya semula.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Keputusan itu diambil atas cadangan yang dibuat dalam sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lalu.

"Namun atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama wakil MPP pada 15 Ogos lepas, terdapat cadangan supaya PerantiSiswa ini diberikan secara terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang.

"Justeru, pada hari ini sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan terus tablet berjenama ini kepada penerima PerantiSiswa, jadi tak perlu pinjam, tak perlu pulang balik, kerajaan bagi terus kepada penerima-penerima PerantiSiswa," kata beliau ketika berucap pada Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, di sini hari ini.


(Siswa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kelihatan gembira selepas menerima peranti pada Majlis
Pelancaran Inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
di Dewan Agung  
Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM)/ Foto BERNAMA)

Sebelum ini pengumuman inisiatif PerantiSiswa menggunakan Konsep Guna Pakai iaitu mahasiswa perlu menyerahkan semula peranti setelah tamat pengajian.

Terdahulu Annuar dilaporkan berkata permohonan untuk inisiatif Perantisiswa yang dibuka secara dalam talian sejak 15 April hingga 15 Mei lepas bagi fasa pertama telah menerima kira-kira 100,000 permohonan.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.

Tablet jenama Samsung dipilih sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

Media Baharu