SHAH ALAM, 18 Ogos -Kerajaan Negeri Selangor akan memperkukuh penguatkuasaan parkir awam dengan memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik.
Exco Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Infrastruktur Digital Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, inisiatif itu akan membolehkan pemantauan dijalankan secara lebih sistematik, sekali gus mengurangkan ketirisan serta meningkatkan hasil kutipan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, kutipan caj parkir ketika ini hanya berada pada kadar sekitar 50 peratus berikutan kegagalan sebahagian pengguna membuat bayaran.
"Setakat ini, kutipan kita di Selangor secara purata hanya berada pada tahap 50 peratus. Ini bermaksud masih ada 50 peratus lagi yang tidak berjaya dikutip. Kenapa tidak boleh dikutip? Sebab biasalah, ramai yang tidak membayar parkir apabila tiada penguat kuasa di kawasan tersebut. Apabila ada penguat kuasa, barulah mereka bayar.
"Jadi, kita perlukan satu sistem penguatkuasaan yang lebih kemas, seragam dan teratur. Melalui cadangan yang diterima oleh pihak MBI hasil daripada proses pemilihan yang dijalankan, kita dapati bahawa penggunaan teknologi kamera adalah antara pendekatan terbaik untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan.
"Apabila kamera dipasang, penguatkuasaan dapat dilakukan secara lebih konsisten dan efisien. Maka, hasil kutipan juga dijangka akan meningkat, sekali gus memberi manfaat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Dr Mohammad Fahmi bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Malaysia Book of Records di sini, yang menyaksikan aplikasi parkir pintar, Flexi Parking meraih dua pengiktirafan iaitu sebagai aplikasi parkir pintar bersepadu paling meluas di Malaysia serta rekod transaksi harian tertinggi lebih 461,000 dicatatkan pada 7 Mei lalu.
Aplikasi itu kini digunakan oleh 46 pihak berkuasa tempatan, termasuk 11 PBT di Selangor.
Dalam perkembangan lain Dr Mohammad Fahmi memaklumkan kertas siasatan melibatkan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd telah diperhalusi dan diserahkan semula kepada pihak pendakwaan.
Pihaknya kini menunggu tindakan lanjut terhadap syarikat berkenaan yang sebelum ini dikaitkan dengan ajaran sesat.
"Setakat dua minggu lepas, saya telah maklumkan bahawa kertas siasatan telah dihantar kepada pihak pendakwaan, namun dikembalikan untuk dikemas kini. Kini, kertas siasatan yang melibatkan kes penutupan masjid tersebut telah pun dikemas semula dan dihantar kembali kepada pihak pendakwaan. Jadi, kita sedang menunggu proses pendakwaan dijalankan.
"Itu dari sudut perundangan. Saya juga telah maklumkan sebelum ini bahawa, berdasarkan semakan yang dilakukan di beberapa premis, difahamkan bahawa ramai pengikut kumpulan ini telah berpindah ke negeri-negeri lain. Setakat ini, Negeri Selangor telah pun mengeluarkan fatwa yang mengharamkan ajaran mereka," katanya.
Beliau turut menjelaskan, kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISBH kini melalui proses pemulihan dengan mengikuti persekolahan arus perdana. Ia disokong penyaluran bantuan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.