NILAI, 18 Ogos -Negeri Sembilan menyasarkan 1,000 tan atau satu juta kilogram (kg) pengumpulan barangan kitar semula menerusi Drive Thru Recycling Centre (DTRC).
Menurut Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J. Arul Kumar tahun 2024 mencatatkan jumlah pengumpulan barangan kitar semula sebanyak 724 tan.
Mengikut trend pengumpulan setakat ini, beliau percaya DTRC bawah pengurusan SWM Sdn Bhd itu mampu mencapai sasaran yang diletakkan hingga hujung tahun ini.
Hingga kini, 32 DTRC di seluruh negeri telah beroperasi manakala lima lagi akan beroperasi dalam tahun ini menjadikan keseluruhan 37 DTRC di Negeri Sembilan.
"Kita menyeru masyarakat untuk menggunakan DTRC ini untuk membolehkan mereka ambil bahagian dalam kita kitar semula, kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama membantu menjayakan kitar semula.
"Dan ia sekali gus bantu kita kurangkan sampah yang terus dihantar ke tapak pelupusan sampah ini, untuk jangka masa pajang bantu kita kurangkan kos pengurusan sampah oleh setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kitarecycle di Fasiliti DTRC Sejati MADANI Di Kg Baru Pajam, di sini.