KUCHING, 18 Ogos - Sebanyak lapan syarikat produksi dari Sarawak menerima surat tawaran pembiayaan berjumlah lebih RM1.5 juta bawah Dana Program TV Borneo (Sarawak).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu bagi memperkayakan kandungan siaran tempatan, di samping memacu kerjasama strategik antara penggiat industri dengan stesen penyiar termasuk RTM dan media swasta.
“Program ini bertujuan memperkayakan kandungan siaran tempatan serta mengetengahkan warisan budaya dan identiti tempatan," katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan komited memperkasa industri kandungan kreatif seiring hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab kandungan serantau.
Dana Program TV Borneo merupakan salah satu daripada tiga kategori Dana Kandungan Kreatif (DKK) 2025 yang diluluskan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Dua lagi kategori bawah DKK ialah Dana Pasca Produksi serta Dana Pemasaran dan Pengedaran.
Teo berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Dana Kandungan Kreatif Program TV (Borneo) 2025 di FINAS Cawangan Sarawak, Petra Jaya, Kuching.