KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Polis menahan lima lelaki berusia antara 23 hingga 36 tahun kerana dipercayai terbabit sebagai ‘collector’ kad ATM dan ‘runner’ bagi sindiket pinjaman wang tidak berlesen serta merampas 2,924 kad ATM dalam satu operasi khas di Subang Jaya, Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata ketiga-tiga suspek pertama diberkas ketika berada di kawasan sekitar Subang Jaya pada 8 Ogos lalu selepas didapati mencurigakan.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang berada di premis yang turut dijadikan tempat tinggal dan tempat operasi mereka.
“Semakan mendapati seorang daripada yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Datuk Rusdi berkata pemeriksaan di premis berkenaan turut menemukan kad ATM tersebut, wang tunai RM119,977, 14 telefon bimbit, tiga kenderaan dan pelbagai dokumen perjanjian pinjaman dan butiran individu.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek menerima arahan daripada penyelia melalui aplikasi Telegram untuk mengeluarkan wang daripada akaun mangsa menggunakan kad ATM.
“Kekerapan pengeluaran wang adalah sekitar dua kali sehari dengan jumlah antara RM5,000 hingga RM8,000. Wang itu kemudian dibungkus dan dihantar ke alamat tertentu melalui perkhidmatan penghantaran atau diserah tangan di lokasi yang ditetapkan,” katanya lagi.
Kesemua suspek dipercayai bekerja dengan sindiket berkenaan antara enam bulan hingga dua tahun dengan bayaran RM2,500 hingga RM3,500 sebulan.
Katanya, lima lelaki berusia antara 26 hingga 36 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pada 12 Ogos lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Polis kini sedang mengesan pemilik kad ATM dan dalang sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen ini.