SERDANG, 18 Ogos – Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 11 Ogos 2025 hingga 10 Ogos 2027.
Beliau menggantikan Prof. Dr. Ismi Arif Ismail yang tamat tempoh pelantikan pada 24 April lalu.
Abd Rahim, 50, memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Sains Kejuruteraan dari University of Oxford, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeronautikal (Kepujian) dari University of Salford, United Kingdom.
"Beliau berpengalaman luas dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa dan diiktiraf di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, selain menyandang jawatan Presiden South East Asia Network on Aerospace Engineering dan Timbalan Presiden Malaysian Society for Engineering and Technology," menurut kenyataan UPM di sini hari ini.
Anak kelahiran Johor itu telah berkhidmat di UPM lebih 22 tahun, bermula sebagai Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan pada 2003, sebelum dilantik sebagai Pensyarah Kanan (2008), Profesor Madya (2010) dan Profesor pada 2020.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau turut pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (2016–2017), Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa (2017), dan Pengarah Pusat Jaminan Kualiti UPM (2024–2025).
"Di luar universiti, Abd Rahim juga mempunyai pengalaman industri signifikan termasuk sebagai Pengurus Besar di Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) serta Ketua Pegawai Operasi di Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dengan menguruskan projek strategik berkaitan industri aeroangkasa negara," tambahnya.
Sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), beliau akan mengetuai pentadbiran Pejabat TNCAA.
"Beliau akan memacu pembangunan polisi akademik, memperkukuh proses jaminan kualiti, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta memperluas jaringan dan kerjasama antarabangsa UPM," katanya.