fb fb fb fb fb

KBS laksana 4,142 aktiviti program Rakan Muda seluruh negara

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melaksanakan sebanyak 4,142 aktiviti program Rakan Muda dengan peruntukan sebanyak RM5.75 juta.

Menterinya Hannah Yeoh berkata, program-program tersebut telah disertai seramai 1.112 juta belia di seluruh negara.

Katanya, kementerian juga telah menerima peruntukan sebanyak RM20 juta bagi tahun 2024.

"Peruntukan ini bertujuan memperkasakan pelaksanaan Rakan Muda untuk dimanfaatkan oleh belia secara menyeluruh.

"Ini termasuklah pelaksanaan di peringkat daerah secara kolaborasi lebih 4,000 aktiviti. Seramai 2 juta belia disasarkan menyertai pelaksanaan program ini," katanya bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Hannah berkata demikian bagi menjawab persoalan Zakri Hasan (PN-Kangar) yang bertanyakan usaha kementerian dalam mengembalikan program Rakan Muda dalam kalangan golongan belia kerana dilihat memberi impak positif kepada belia.

Menurut Hannah, kerjasama strategik dengan agensi, rakan pelaksana dan badan korporat turut diperkukuhkan melalui kerjasama agensi kerajaan dan badan sukarela.

Antaranya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Persatuan Bulan Sabit Merah, Majlis Aids Malaysia dan lain-lain lagi.

"Selain itu Rakan Muda turut mengambil kira nilai tambah dari aspek kemahiran (dengan izin) softskill dan penyerlahan bakat.

"Ini termasuklah program secara bersama melibatkan 10 Gaya Hidup Rakan Muda," tambahnya.

Tambah beliau, kementerian turut memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM).

"Dengan keahlian lebih daripada 1.2 juta bersama 41 badan gabungan yang lain, MBM diharapkan mampu menjadi agen pelaksana sehingga ke peringkat akar umbi," ujarnya lagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN