KALABAKAN, 11 Julai- Jabatan Hidupan Liar mengesan kehadiran kira-kira 30 ke 40 ekor gajah di kawasan ladang sawit antara Ladang Cenderamata dan Ladang Dumpas, berhadapan Felda Umas di sini.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau Primus Lambut berkata pihaknya menerima aduan kehadiran gajah itu sejak 1 Julai lepas dan ke lokasi bagi memastikan kawasan itu terkawal untuk mengelakkan provokasi orang awam.
"Kehadiran gajah-gajah ini perkara biasa ketika chipping iaitu proses pokok sawit yang tua diracik bagi penanaman semula...gajah akan datang makan umbut kelapa sawit," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pada masa ini pihaknya memastikan gajah-gajah berkenaan bergerak ke kawasan koridor hidupan liar Sabah Softwoods Berhad (SSB) di Brumas di sini.
"Ada gajah yang sudah bergerak ke kawasan lain dan ada yang masih berada di kawasan itu," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan kumpulan mamalia itu.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 16 saat di media sosial yang memaparkan kawanan gajah berada di kawasan ladang bagi mencari makanan.- BERNAMA