fb fb fb fb fb

KBBM 2025: Langkah strategik perkukuh pertumbuhan ekonomi domestik

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Selatan di Puteri Harbour Convention Centre (PHCC). - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 27 Jun- Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dengan slogan Jom Beli Lokal dilancarkan bagi memperkukuh sokongan terhadap produk tempatan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen itu adalah langkah strategik untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi domestik, sekaligus membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) tempatan meluaskan jaringan pasaran.

"Kempen ini bertujuan untuk kita membantu melonjakkan nilai jualan penembusan produk produk tempatan khususnya produk perusahaan kecil dan sederhana kita dalam pasaran. Ia sekaligus akan membantu menjana pendapatan para usahawan kita dan pada masa yang sama boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan begitu juga dalam salah satu usaha kita untuk mengurangkan kebergantungan kepada produk-produk import." katanya selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan dan melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 di Pusat Konvensyen Puteri Harbour di sini.

Johor dipilih sebagai lokasi Jelajah KPDN 2025 Zon Selatan yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini hingga 29 Jun, mengambil kira sambutan menggalakkan pada 2024 yang merekodkan kehadiran 761,659 pengunjung.

Siri jelajah itu akan diteruskan ke lima zon lain iaitu Zon Utara (Kedah), Zon Timur (Pahang), Zon Tengah (Selangor), Zon Sabah dan Zon Sarawak, dengan pelbagai program advokasi pengguna, promosi barangan tempatan serta pameran perkhidmatan agensi.

SITI NOORAIN ABDULLAH