fb fb fb fb fb

Kerjasama dua hala dalam bidang tenaga nuklear

Foto RTM

MOSCOW, 27 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah ROSATOM, Alexey Likhachev bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang tenaga nuklear.

Turut serta dalam pertemuan yang berlangsung di ibu pejabat ROSATOM Moscow itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Pertemuan selama satu jam kedua-dua pihak antara lain membincangkan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam perkongsian pengetahuan teknikal dan peraturan serta pembangunan infrastruktur dan tenaga kerja.

Turut disentuh penilaian dan pemerkasaan teknologi di peringkat tempatan dan pendidikan awam serta penglibatan pihak berkepentingan mengenai tenaga nuklear.

Timbalan Perdana Menteri kemudian turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dokumen kerahsiaan (NDA) antara MyPOWER dan ROSATOM.

Perjanjian itu ditandatangani Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyPOWER, Devendra Thambirajah dan Ketua Pengarah ROSATOM Energy Project, Andrey Rozhdestvin.

Pada Khamis, Datuk Seri Fadillah bersama delegasi turut melawat Loji Kuasa Nuklear Leningrad (LNPP) di St Petersburg. LNPP ialah loji tenaga nuklear utama yang terletak di Sosnovy Bor, Wilayah Leningrad, dan dikendalikan oleh ROSATOM.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI