AYER KEROH, 27 Jun- Beras Melaka dijangka memasuki pasaran Ogos ini dengan pengeluaran terhad iaitu sekitar 9,000 kampit beras 10-kilogram dengan harga RM26.
Pengarah Jabatan Pertanian Melaka, Rosli Azizi Talib berkata, jumlah pengeluaran adalah sekitar 300 tan metrik padi basah sebelum diproses.
Menurutnya, selepas diproses, jumlah beras yang terhasil akan berkurang sebanyak 40 peratus.
“Musim kedua ini kita fokuskan khas untuk penghasilan beras. Selepas diproses, kita jangka dapat sekitar 240 metrik tan beras, yang boleh menghasilkan lebih kurang 9,000 beg bersaiz 10 kilogram,” katanya ketika ditemui RTM sempena Melaka Agrofest 2025 di Dataran Sejarah, Ayer Keroh.
Dalam usaha memperluas pasaran dan memastikan agihan beras tempatan itu lebih tersusun, kerajaan negeri Melaka telah melantik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka sebagai pengedar utama produk berkenaan.