ISKANDAR PUTERI, 27 Jun- Johor bakal menjadi negeri perintis, bagi pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) secara menyeluruh di semua premis perniagaan dalam negeri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata sistem itu kini dilaksanakan secara rintis, menerusi beberapa siri Program Jualan Rahmah Madani.
"Saya baru tawarkan tadi dan alhamdulillah respons yang positif daripada kerajaan negeri Johor cuma sebelum kita buat di seluruh negeri Johor saya perlu meyakinkan bahawa sistem itu telah stabil di peringkat program Jualan Rahmah.
"Selepas itu barulah kita akan bincangkan mekanismenya di negeri Johor. Sekarang ini, sejak Jualan Rahmah memang di bawah pengurusan kita 100%, maka kita tidak akan tergesa-gesa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan dan melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), di sini hari ini.
Menurut beliau, penggunaan kod QR dalam sistem eCOSS membolehkan pemantauan penjualan minyak masak bersubsidi secara bersasar, sekali gus membendung ketirisan bekalan.
Sistem turut merekodkan pengagihan minyak masak daripada peringkat pembungkus semula, sehingga kepada peruncit dan pengguna akhir.
eCOSS juga menyekat pembelian oleh bukan warganegara, kerana pengguna perlu mendaftar dalam sistem sebelum membuat pembelian.