PADANG BESAR, 27 Ogos - Seramai 70 peserta terdiri pelajar sekolah, guru pengiring dan komuniti Kampung Pokok Asam memeriahkan Kayuhan Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Kesemua peserta mengharungi jarak kayuhan sejauh 20 kilometer bermula di Sekolah Kebangsaan Bukit Keteri dengan 5 hentian ditetapkan sepanjang kayuhan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pokok Asam, Md Rosdi Hashim, kayuhan itu bagi menyemai semangat patriotik dan mewarnai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di samping mengenang jasa pahlawan dan wira negara yang berkorban demi kemerdekaan negara.
"Kemerdekaan negara yang disambut 31 Ogos setiap tahun perlu dihayati semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan peringkat usia.
"Setelah 68 tahun negara mencapai Kemerdekaan, kita yang mewarisi negara ini hendaklah menjaga keamanan yang ada dan kibarlah Jalur Gemilang setiap kali sambutan Hari Kebangsaan. ''
Setiap peserta kayuhan singgah di Teratak Haji Rusdi, Sekolah Kebangsaan Datuk Kayaman, Perusahaan Batik Inderawasih, Kilang CIMA dan Tasik Melati sebelum kembali ke SK Bukit Keteri.
Di setiap hentian, edaran Jalur Gemilang kepada penduduk setempat turut dilaksanakan bagi memeriahkan kempen '1 Rumah 1 Jalur Gemilang'.
Turut serta, Guru Besar SK Bukit Keteri, Kamarudin Othman dan Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Padang Besar, Ruzaini Rais.