fb fb fb fb fb

Kawalan sempadan negara, kesiapsiagaan tentera darat pada tahap tertinggi

SUNGAI BESI, 1 Mac- Kesiapsiagaan tentera darat akan sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menegaskan meskipun tanpa ancaman luar, kawalan sempadan negara terus diberi perhatian dalam usaha memastikan keselamatan dan pertahanan negara terjamin.

"Kalau ancaman itu tidak berlaku, kita masih mengawal kawalan-kawalan sempadan daripada sebarang pencerobohan, terutamanya daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) atau penyeludupan barang-barang, mencuri harta kerajaan.

"Kita tahu sempadan kerajaan di sebelah utara kita elakkan pendatang haram dari Thailand dan dari Sabah dan Sarawak, kita elakkan PATI atau pencerobohan dari Kalimantan", katanya dalam sidang media selepas Istiadat Perbarisan dan Perutusan Hari Tentera Darat ke-90 di ibu negara.


(Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain)

Dalam sidang media sama, Jeneral Tan Sri Zamrose berkata selain aspek keamanan negara, aspek kesejahteraan warga tentera darat dan keluarga akan diberi perhatian sewajarnya.

Ini terutamanya melibatkan kebajikan warga yang terkorban ketika menjalankan tugas seperti yang berlaku kepada mendiang komando Lans Koperal Edrin Baintim yang lemas ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Undan, Melaka pada 7 Februari lalu.

Pampasan akan diberikan dan pembayaran akan dibuat secepat mungkin bagi membantu keluarga mendiang.

"Bagi bayaran bulanan, mangsa akan menerima pencen terbitan berjumlah RM459.80, pencen orang tanggungan sebanyak RM287.36 sebulan dan ex-gratia orang tanggungan sebanyak RM781.63 sebulan. Jumlah keseluruhan setiap bulan adalah sebanyak RM1,528.80.

"Bagi bayaran sekali gus atau one off adalah sebanyak RM14,738.95 membabitkan masing-masing ganjaran terbitan bernilai RM9,310.95 dan faedah gantian cuti rehat sebanyak RM5,428," katanya.

Menerusi ucapannya pada Perutusan Hari Tentera Darat, beliau berkata tiga fokus utama akan diberi perhatian bagi memantapkan 'ketumbukan' Tentera Darat Malaysia.

Tiga fokus utama berkenaan adalah agenda meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga tentera darat, mengukuhkan komitmen membantu kerajaan dan rakyat terutama ketika bencana dan mengukuhkan organisasi tentera darat.

Media Baharu