fb fb fb fb fb

Bekalan makanan mangsa banjir dijamin cukup- Salahuddin

(Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub)

KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan makanan yang mencukupi untuk mangsa banjir di beberapa negeri, ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, KPDN sedang menggerakkan bantuan segera melalui Program Food Bank Malaysia (PFBM) ke negeri terjejas banjir.

Menurut beliau pihaknya akan memberi fokus bagi menghantar makanan sedia untuk dimasak selain barangan kering ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan terjejas.

“KPDN sentiasa akan berhubung dengan pihak polis dan bilik operasi banjir supaya kita dapat menghantar barangan melalui 'food bank' di lokasi terkesan dan diselaraskan bilik operasi bencana banjir.

“Antara yang lokasi yang paling kritikal adalah di Johor melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Rompin selain beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain itu, Salahuddin berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) juga bersedia setiap masa dalam membantu mereka yang terjejas termasuk bekalan makanan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Jelajah Menu Rahmah dan Penyerahan Bakul Rahmah di sebuah restoran di Wakaf Tok Pelam di Kuala Terengganu.


(Datuk Seri Salahuddin pada Jelajah Menu Rahmah dan Penyerahan Bakul Rahmah di sebuah restoran di
Wakaf Tok Pelam di Kuala Terengganu)

Turut hadir Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Dr Azrin Ahmad Mohd Adnan.

Sehingga tengah hari ini, dilaporkan lebih 5,300 mangsa terjejas dengan bencana banjir dan ditempatkan di PPS melibatkan penduduk di tiga negeri iaitu Johor, Sabah dan Sarawak.

Negeri Johor paling teruk terjejas apabila mencatatkan lebih 4,400 mangsa terdiri daripada hampir 1,400 keluarga yang ditempatkan di 48 PPS.

Media Baharu